ALOR STAR 18 Sept. - Semua ahli Pas diingatkan agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru sehingga sanggup mengetepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengikut Pas supaya konsisten dengan dasar perjuangan yang berlandaskan Islam dalam apa jua keadaan.
Menurut beliau, ahli-ahli Pas juga perlu mengutamakan pemimpin-pemimpin mereka dengan sentiasa mengikut arahan.
"Kita minta pengikut-pengikut Pas setia kepada perjuangan. Ikut arahan, jangan lari daripada jemaah walau apa sekali pun yang berlaku. Ini tanggungjawab ahli," katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 5,000 orang pada Majlis Memperingati Nuzul Quran di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini malam tadi.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Sejak beberapa bulan lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa akan menubuhkan kerajaan baru pada 16 September kononnya selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional melompat parti.
Bagaimanapun, kelmarin, beliau hanya mengadakan sidang akhbar dan mengulangi dakwaan berkenaan sambil menyatakan kerajaan baru terpaksa ditangguh beberapa hari untuk beliau berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdul Hadi turut mengulangi pendirian bahawa Pas tidak akan menyertai kerajaan baru jika ia tidak dipandu oleh Islam.
Beliau menegaskan, perkara berkenaan menjadi syarat utama bagi Pas untuk menyertai perubahan kerajaan dan tidak akan berkompromi mengenainya.
"Walaupun 16 September sudah lepas tetapi kita berusaha nak buat perubahan. Perubahan untuk menukar kerajaan.
"Saya sebut Pas akan menyertai perubahan kerajaan dengan syarat kerajaan baru ini dipandu oleh Islam, dipandu oleh orang Islam. Kalau perkara ini tiada, Pas tidak akan menyertai perubahan itu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment